Anak Perlis Cipta Enjin Bot

|
KANGAR 22 Mac - Seorang bekas nelayan, Ridzduan Hashim, 43, hanya berpendidikan setakat darjah enam, namun dia boleh berbangga kerana melalui ideanya sebuah enjin terhasil sekali gus dapat membantu nelayan di negara ini.

Anak jati Simpang Empat, Arau yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin itu berkongsi idea dengan para jurutera di Teknologi Park Malaysia (TPM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menghasilkan sebuah alat kemudi dinamakan RED1.

Menceritakan liku-liku hidupnya, Ridzduan berkata, dia merantau ke Pahang pada 1979 ketika berusia 12 tahun bersama-sama keluarganya, namun kesusahan hidup memaksanya kembali ke Perlis.

"Pada 1984 saya pulang ke Perlis untuk tinggal bersama-sama datuk dan pada masa itu saya mula membiasakan diri menjadi seorang nelayan," katanya yang pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Empat, Perlis.

Pada 1990, dia mengikuti kursus enjin di Giat Mara, Kangar dalam usia 23 tahun sebagai persediaan untuk membuka bengkel membaiki enjin kereta.

"Minat saya terhadap enjin berputik ketika bekerja sebagai mekanik pada 1982 di Pahang," katanya.

Menurut Ridzduan, ilmu membaiki enjin itu diperoleh daripada majikannya, Abdul Ghani Kadir yang bersusah payah mengadakan kelas tuisyen membaiki kereta untuk semua pekerjanya pada setiap malam.

Namun pada 1991, ketika kegawatan ekonomi dia kembali menjadi nelayan sehingga 1998 dam tidak terkecuali merasai kesukaran hidup yang dihadapi oleh nelayan tempatan.

"Tiap-tiap kali bila turun ke laut saya dan nelayan lain menghadapi kesukaran sehingga berjam-jam mengendali alat kemudi ekor biawak untuk melawan arus," katanya.

Pada tahun 2000, dia memperoleh idea untuk mencipta sebuah kemudi yang memudahkan nelayan menongkah arus namun idea itu disimpan selama lapan tahun.

"Sehinggalah tahun 2008 kawan saya, Azimat Mustafa yang mengetahui perkara tersebut mencadangkan saya menghubungi Teknologi Park Malaysia kerana dia baru sahaja mengikuti kursus membuat perabot di situ," katanya.

Ridzduan berkata, dia menghubungi TPM dan ideanya mendapat perhatian pihak berkenaan yang berminat untuk menghasilkannya.

Bermula detik itu, nelayan itu tidak berpaling lagi apabila dia dan TPM memeterai perjanjian kerjasama dan akhirnya pada awal Mac lalu, RED1 dilancarkan dan diagih-agihkan kepada para nelayan di seluruh negara.

RED1 yang bermaksud Research, Explore and Develop bertujuan membantu meminimumkan kos operasi para nelayan dari segi penggunaan bahan api dan kos tenaga kerja.

Nelayan mampu menjimatkan kira-kira 50 peratus kos petrol dengan menggunakan RED1 iaitu RM10 untuk perjalanan pergi balik berbanding menggunakan enjin bot sangkut import yang menelan kos RM30 bagi perjalanan yang sama.

Daripada segi pengendalian, bot menggunakan RED1 boleh dikendalikan oleh seorang nelayan dengan kemampuan beroperasi ke hadapan dan ke belakang berbanding bot konvensional iaitu Enjin Bot Ekor Biawak yang tidak boleh diundur dan perlu dikendalikan oleh dua orang nelayan.

Komponen yang digunakan dalam pembikinan RED1 adalah 100 peratus bahan tempatan dengan kos RM7,000 bagi setiap unit termasuk kos penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Penggunaan komponen tempatan memudahkan penukaran alat ganti yang tersedia di pasaran tempatan berbanding komponen import.

Projek RED1 menerima peruntukan bernilai RM4.1 juta dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dijangka mampu menyiapkan kira-kira 400 unit RED1 tahun ini untuk diserahkan kepada nelayan di negara ini melalui kawasan Parlimen masing-masing.

Antara aplikasi lain RED1 ialah penggunaan satu unit 'shaft' memudahkan pengendalian enjin yang lebih ringan, sekali gus dapat meminimumkan penggunaan minyak selain penggunaan enjin komersial atau enjin standard industri yang dapat menjimatkan penggunaan bahan api tanpa perlu menggunakan minyak 2T.

Sistem Air-Cooled Gearbox yang terdapat dalam RED1 membolehkan operasi bot di kawasan air cetek, manakala enjin dan alat kemudi yang boleh dibuka membolehkan enjin digunakan untuk tujuan lain seperti pam air dan mesin tebu selain harga RED1 yang lebih murah berbanding enjin yang ada dalam pasaran sekarang.

Dalam pada itu, Ridzduan menasihatkan golongan belia di negara ini terutama yang mempunyai idea menarik agar memohon bantuan kerajaan untuk merealisasikan idea itu.

"Ramai yang mempunyai idea tetapi tidak tahu untuk memperkembangkan idea dan tempat untuk dirujuk. Nasihat saya supaya mereka sentiasa berhubung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.

Menurutnya, golongan belia perlu meletakkan matlamat dalam hidup dan tempoh untuk meraih matlamat itu.

"Tahap akademik bukan pengukur untuk maju tetapi kekuatan untuk berusaha adalah perkara utama," kata bapa kepada tiga orang anak yang kini mempunyai syarikat sendiri yang dikenali sebagai BME Nautika Enterprise di Langkawi.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment