14 Atlet Diberi Penghargaan

|
KANGAR – Seramai 14 atlet termasuk pemain tengah pasukan bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala AFF Suzuki, Amar Rohidan diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan 2010, di Padang Bola, Taman Emas Bukit Keteri, baru-baru ini.

Amar yang mengalami demam campak sejak seminggu lalu hadir menerima sumbangan sambil ditemani ibu bapanya, Rohidan Rashid dan Che Ah Mad Isa.

Majlis anjuran Kerajaan Negeri Perlis itu bertujuan menyampaikan insentif kepada atlet Perlis kerana telah mengharumkan nama negeri itu di persada antarabangsa.

Selain Amar, turut dirai ialah jaguh hoki negara, Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil; atlet Paralimpik, Surita Saad; jaguh terjun belia negara, Ahmad Amshar Azman; dua jaguh angkat berat negara, Mohd Faiz Musa dan Fatin Atikah Osman.

Manakala atlet basikal, Muhamad Fauzan Norazman dan Jupa Somcat serta lima atlet kayak, Mohd Hanizam Ramli, Mohd Sofiyudin Ismail, Mohd Salehudin Ismail, Mohd Akmal Abdullah, Sham Husin dan Mohd Kamal Ismail.

Dalam majlis itu, tiga atlet iaitu Amar Rohidan, Surita Saad dan Tengku Ahmad Tajudin Tengku Abdul Jalil menerima RM5,000 manakala Ahmad Amshar Azman, menerima RM2,000 dan selebihnya menerima RM500.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Jamil Saad, mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menyampaikan sumbangan kepada semua atlet berkenaan.

Hadir sama isteri Menteri Besar, Datin Seri Asiah Asmuni dan Pengerusi Jawatankuasa Penguatkuasaan, Tanah dan Galian Negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Jamil berkata, sumbangan terbabit sebagai penghargaan Kerajaan Negeri kepada semua atlet kerana kejayaan mengharumkan nama Perlis dan negara serta sebagai galakan bagi meningkatkan prestasi kecemerlangan dalam bidang sukan.

Menurutnya, pada 2010 lalu, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk atlet menyertai kejohanan di peringkat negara dan antarabangsa, termasuk RM200,000 sebagai ganjaran kepada mereka.

“Selain pencapaian dalam bidang akademik, bidang sukan turut menjanjikan pulangan yang lumayan dan ibu bapa dinasihatkan sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada anak masing-masing untuk menceburi bidang ini,” katanya.

SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment