Hari SENIMAN 2010 @ 12 - 13 Jun 2010

|
Orang Ramai Dijemput Hadir!!

Bangun Segera Kompleks Halal Hub Park – Raja Muda Perlis

|
TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menerima cenderamata daripada Baharom Mahusin (kanan) selepas pelancaran Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020, Kangar, semalam.

KANGAR 4 Jun – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu kompleks Halal Hub Park di Padang Besar berharga RM10.7 juta dibangunkan segera bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

Titah baginda, langkah itu wajar untuk memenuhi strategi pasaran semasa terutama bagi membolehkan produk halal Malaysia lebih awal memasuki pasaran negara Timur Tengah.

Tindakan segera, titah baginda, perlu kerana ia merupakan satu peluang terbaik bagi Perlis sendiri untuk dikenali dunia sebagai pusat halal serantau yang berskala besar.

“Beta difahamkan pelaksanaan projek hab halal di Perlis mengalami kelewatan disebabkan kerja-kerja awal tergendala ekoran isu penyelesaian tanah dengan pengusaha asas di tapak cadangan.

“Bagaimanapun, isu tersebut telah diselesaikan sepenuhnya dan pelaksanaan projek Fasa 1 bagi keluasan 11 hektar dijangka siap November ini,” titah baginda ketika melancarkan Kempen 1Malaysia 1Halal di Dewan 2020 di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz; Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs), Abdul Malik Husin dan Pengarang Kosmo!, Baharom Mahusin hadir sama pada majlis tersebut.

Jelajah kempen ini singgah di Perlis sebagai lokasi pertama di peringkat negeri dan adalah lanjutan kejayaan program sulungnya di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Raja Muda Perlis percaya peruntukan RM70 yang dipohon oleh kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) akan diluluskan oleh kerajaan Persekutuan.

Baginda menambah, pembangunan Halal Hub Park bukan sahaja akan memberi kesan yang amat positif kepada rakyat negeri ini, tetapi kepada kerajaan negeri sendiri.

Salah satu daripada kesan positif kepada rakyat yang dimaksudkan oleh baginda itu termasuklah peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan limpahan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menyediakan produk sokongan.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin menyarankan supaya institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan turut menyumbang kepakaran dan teknologi pendidikan dalam usaha meningkatkan inovasi dan nilai komersial halal sedia ada.

Baginda berharap agar aspek bioteknologi diberikan tumpuan sebaik mungkin kerana penerokaan dalam bidang itu merupakan peluang pelaburan baru yang tidak wajar dipandang ringan.

“Sekiranya projek ini berjaya dilaksanakan, penjenamaan dan tanda ‘Halal Malaysia’ di produk-produk yang dihasilkan dari Perlis juga akan mencerminkan kesucian tatacara pembuatan halal menurut Islam dan menjamin kualiti barangan yang dieksport.

“Ia juga sekali gus dapat meningkatkan tarikan negeri ini sebagai satu lagi pusat aktiviti komersial yang seterusnya meningkatkan daya saing negara sebagai pusat makanan halal dunia,” titah baginda.

UTUSAN MALAYSIA

SELAMAT HARI GURU - 16 Mei 2010

|


DAULAT TUANKU

|

DAULAT TUANKU

Selamat Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-67
DULI YANG MAHA MULIA TUANKU RAJA PERLIS

- Sedekat Bertakhta Raja Berdaulat, Rakyat Sejahtera Negeri Berkat -

Karnival JOM PI PERLIS @ 7hb -16hb Mei 2010

|

Karnival SUKAN BENDANG @ Padang Behor, Kangar @ 2 Mei 2010

|

Kempen Menanam 26 Juta Pokok Peringkat Negeri Perlis - 22 April 2010 @ Jalan Sungai Batu Pahat

|

Sekitar Kunjungan TPM ke Perlis pada 13 April 2010

|

Karnival Jom Pi Perlis @ Dataran 350 Kangar

|

Sidang DUN Perlis

|

06 & 07hb April 2010 - Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis

Polis Mahu Perkukuh Kerjasama Masyarakat

|
KANGAR 29 Mac - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis akan menggandakan lagi kerjasama dengan masyarakat walaupun status sedia ada sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Timbalan Ketua Polis Negeri, Asisten Komisioner Zull Aznam Harun menyatakan, pihaknya perlu menokok kerjasama itu kerana tidak mahu status sedia ada statik atau menurun.

Katanya, langkah-langkah berkaitan akan diambil secara berjadual supaya hubungan IPK Perlis dengan masyarakat di seluruh negara dapat digandakan keakrabannya.

Bekas Ketua Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan itu mengakui kagum dengan kerjasama masyarakat setempat setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis mulai 1 Disember 2009.

"Kami amat memerlukan kerjasama erat daripada masyarakat. Hubungan baik yang sedia ada itu wajar digilap ke tahap yang lebih cemerlang, terutama dalam usaha membanteras jenayah," ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Beliau mengakui salah satu tumpuan IPK Perlis ialah menjurus kepada remaja, kerana golongan itu merupakan kumpulan masyarakat yang menjadi sasaran utama pihak yang tidak bertanggungjawab.

Antara masalah yang melibatkan kumpulan itu katanya, termasuklah pelbagai gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, membuli, mencuri dan menyertai kegiatan lumba motosikal haram.

"Walaupun masalah sosial itu belum lagi menjadi satu masalah besar di Perlis, tetapi kami mengambil langkah awal dengan prinsip iaitu mencegah adalah lebih baik daripada mengubati," tegasnya.

Sehubungan itu, Zull Aznam turut menasihatkan remaja supaya lebih cermat ketika memilih rakan kerana bimbang mereka akan dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan jenayah.

Selain remaja kata beliau, seluruh masyarakat mesti lebih aktif menjadi 'mata telinga' polis kerana jika masalah jenayah dibiarkan berterusan, ia memberikan kesan buruk jangka panjang kepada masyarakat itu sendiri.

UTUSAN MALAYSIA

Sekitar Mesyuarat Agung PEMANIS Kali Ke-5

|

Kerusi DUN Titi Tinggi Tidak Kosong - SPR

|
PUTRAJAYA 24 Mac - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Titi Tinggi, Perlis tidak kosong dan penyandangnya, Yip Sun Onn masih anggota DUN yang sah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Abdul Aziz berkata, setakat ini SPR belum lagi menerima sebarang surat rasmi mengenai peletakan jawatan Sun Onn daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Datuk Yazid Mat.

"Walaupun Speaker sudah sahkan terima surat itu tetapi selagi SPR tidak menerima sebarang surat rasmi, kerusi DUN itu tidak kosong dan hanya SPR sahaja yang boleh memaklumkan mengenai sebarang kekosongan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ditanya berapa lama Speaker boleh memegang surat peletakan jawatan itu, Abdul Aziz berkata, tempoh masa bagi Speaker boleh memegang surat itu tiada dalam undang-undang.

"Itu semua terpulang kepada urusan Speaker dan anak buahnya," katanya.

Semalam, Speaker DUN negeri itu, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan daripada Sun Onn yang juga Naib Ketua MCA bahagian Padang Besar pukul 3 petang dua hari lepas dan menasihatkannya supaya mempertimbangkan keputusan itu.

Sub Onn, 52, dikatakan kecewa kerana tidak dilantik semula sebagai anggota Exco kerajaan negeri yang disandangnya sejak dua tahun lalu apabila namanya tidak disenaraikan dalam majlis mengangkat sumpah di Istana Arau, Jumaat lalu.

Sebaliknya ADUN kawasan Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor dilantik ke jawatan itu dan mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

BERNAMA

ADUN Titi Tinggi Hantar Surat Letak Jawatan

|
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi dari Barisan Nasional (BN), Yip Sun Onn telah menghantar surat peletakan jawatannya kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Yazid bin Mat semalam.

Namun, YAB Dato' Seri Dr. Md Isa bin Sabu (Menteri Besar Perlis) diberitakan masih berusaha memujuk ADUN itu bagi menarik balik perletakan jawatan tersebut.

Jika perletakan jawatan tersebut diluluskan, Perlis berkemungkinan akan berhadapan dengan satu Pilihan Raya Kecil.

Anak Perlis Cipta Enjin Bot

|
KANGAR 22 Mac - Seorang bekas nelayan, Ridzduan Hashim, 43, hanya berpendidikan setakat darjah enam, namun dia boleh berbangga kerana melalui ideanya sebuah enjin terhasil sekali gus dapat membantu nelayan di negara ini.

Anak jati Simpang Empat, Arau yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin itu berkongsi idea dengan para jurutera di Teknologi Park Malaysia (TPM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menghasilkan sebuah alat kemudi dinamakan RED1.

Menceritakan liku-liku hidupnya, Ridzduan berkata, dia merantau ke Pahang pada 1979 ketika berusia 12 tahun bersama-sama keluarganya, namun kesusahan hidup memaksanya kembali ke Perlis.

"Pada 1984 saya pulang ke Perlis untuk tinggal bersama-sama datuk dan pada masa itu saya mula membiasakan diri menjadi seorang nelayan," katanya yang pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Simpang Empat, Perlis.

Pada 1990, dia mengikuti kursus enjin di Giat Mara, Kangar dalam usia 23 tahun sebagai persediaan untuk membuka bengkel membaiki enjin kereta.

"Minat saya terhadap enjin berputik ketika bekerja sebagai mekanik pada 1982 di Pahang," katanya.

Menurut Ridzduan, ilmu membaiki enjin itu diperoleh daripada majikannya, Abdul Ghani Kadir yang bersusah payah mengadakan kelas tuisyen membaiki kereta untuk semua pekerjanya pada setiap malam.

Namun pada 1991, ketika kegawatan ekonomi dia kembali menjadi nelayan sehingga 1998 dam tidak terkecuali merasai kesukaran hidup yang dihadapi oleh nelayan tempatan.

"Tiap-tiap kali bila turun ke laut saya dan nelayan lain menghadapi kesukaran sehingga berjam-jam mengendali alat kemudi ekor biawak untuk melawan arus," katanya.

Pada tahun 2000, dia memperoleh idea untuk mencipta sebuah kemudi yang memudahkan nelayan menongkah arus namun idea itu disimpan selama lapan tahun.

"Sehinggalah tahun 2008 kawan saya, Azimat Mustafa yang mengetahui perkara tersebut mencadangkan saya menghubungi Teknologi Park Malaysia kerana dia baru sahaja mengikuti kursus membuat perabot di situ," katanya.

Ridzduan berkata, dia menghubungi TPM dan ideanya mendapat perhatian pihak berkenaan yang berminat untuk menghasilkannya.

Bermula detik itu, nelayan itu tidak berpaling lagi apabila dia dan TPM memeterai perjanjian kerjasama dan akhirnya pada awal Mac lalu, RED1 dilancarkan dan diagih-agihkan kepada para nelayan di seluruh negara.

RED1 yang bermaksud Research, Explore and Develop bertujuan membantu meminimumkan kos operasi para nelayan dari segi penggunaan bahan api dan kos tenaga kerja.

Nelayan mampu menjimatkan kira-kira 50 peratus kos petrol dengan menggunakan RED1 iaitu RM10 untuk perjalanan pergi balik berbanding menggunakan enjin bot sangkut import yang menelan kos RM30 bagi perjalanan yang sama.

Daripada segi pengendalian, bot menggunakan RED1 boleh dikendalikan oleh seorang nelayan dengan kemampuan beroperasi ke hadapan dan ke belakang berbanding bot konvensional iaitu Enjin Bot Ekor Biawak yang tidak boleh diundur dan perlu dikendalikan oleh dua orang nelayan.

Komponen yang digunakan dalam pembikinan RED1 adalah 100 peratus bahan tempatan dengan kos RM7,000 bagi setiap unit termasuk kos penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Penggunaan komponen tempatan memudahkan penukaran alat ganti yang tersedia di pasaran tempatan berbanding komponen import.

Projek RED1 menerima peruntukan bernilai RM4.1 juta dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang dijangka mampu menyiapkan kira-kira 400 unit RED1 tahun ini untuk diserahkan kepada nelayan di negara ini melalui kawasan Parlimen masing-masing.

Antara aplikasi lain RED1 ialah penggunaan satu unit 'shaft' memudahkan pengendalian enjin yang lebih ringan, sekali gus dapat meminimumkan penggunaan minyak selain penggunaan enjin komersial atau enjin standard industri yang dapat menjimatkan penggunaan bahan api tanpa perlu menggunakan minyak 2T.

Sistem Air-Cooled Gearbox yang terdapat dalam RED1 membolehkan operasi bot di kawasan air cetek, manakala enjin dan alat kemudi yang boleh dibuka membolehkan enjin digunakan untuk tujuan lain seperti pam air dan mesin tebu selain harga RED1 yang lebih murah berbanding enjin yang ada dalam pasaran sekarang.

Dalam pada itu, Ridzduan menasihatkan golongan belia di negara ini terutama yang mempunyai idea menarik agar memohon bantuan kerajaan untuk merealisasikan idea itu.

"Ramai yang mempunyai idea tetapi tidak tahu untuk memperkembangkan idea dan tempat untuk dirujuk. Nasihat saya supaya mereka sentiasa berhubung dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan," katanya.

Menurutnya, golongan belia perlu meletakkan matlamat dalam hidup dan tempoh untuk meraih matlamat itu.

"Tahap akademik bukan pengukur untuk maju tetapi kekuatan untuk berusaha adalah perkara utama," kata bapa kepada tiga orang anak yang kini mempunyai syarikat sendiri yang dikenali sebagai BME Nautika Enterprise di Langkawi.

UTUSAN MALAYSIA

Yayasan Johor Corporation Bantu Pelajar Miskin Perlis

|
KANGAR 22 Mac - Yayasan Johor Corporation hari ini menyerahkan sebanyak 150 beg kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri Perlis dalam usaha membantu mengurangkan bebanan para pelajar berkenaan.

Sumbangan tersebut yang disalurkan melalui Tabung Tijarah Ramadan disampaikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis untuk diserahkan kepada para pelajar yang terpilih.

Menurut Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, usaha yang dilakukan oleh Johor Corporation (JCorp) itu membuka ruang dan peluang bagi mewujudkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Kami berharap hubungan ini akan dapat diperluaskan melalui kerjasama yayasan untuk membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kesihatan yang kronik," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak yayasan itu untuk bersama-sama membantu pelajar miskin di negeri ini keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Pada masa ini, JPN bersama-sama Baitulmal Perlis mengambil inisiatif mengumpulkan anak-anak yatim dari keluarga miskin untuk tinggal di asrama seterusnya memberi bimbingan akademik," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar (Bisnes Amal) JCorp, Azizah Ahmad berkata, sumbangan beg sekolah itu adalah kesinambungan daripada aktiviti yang telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

"Pada tahun 2009 dan 2008 melalui Tabung Tijarah Ramadan kami telah membantu pelajar miskin dan kurang berkemampuan melalui sumbangan beg itu," katanya.

Menurutnya, sumber kewangan tabung tersebut dikumpulkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa penyiaran program televisyen Tijarah Ramadan yang disiarkan sepanjang Ramadan.

"Ia dikumpul melalui sumbangan para penonton dan sejak ia dilancarkan pada tahun 2005, kita telah berjaya mengumpul sejumlah RM1.3 juta," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 3,000 individu pelbagai bangsa dan agama mendapat manfaat daripada tabung berkenaan termasuk badan-badan dan pertubuhan yang memerlukan.

UTUSAN MALAYSIA

Taklimat 1Malaysia

|
Program Taklimat 1Malaysia oleh Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri Malaysia di Auditorium Taman Budaya Negeri Perlis hari ini mendapat sambutan yang sangat baik.

Peserta yang terdiri dari pelbagai latar belakang pekerjaan dan akademik termasuk parti politik dan penjawat awam, memenuhi dewan auditorium dari mula hingga ke akhirnya.