Yayasan Johor Corporation Bantu Pelajar Miskin Perlis

|
KANGAR 22 Mac - Yayasan Johor Corporation hari ini menyerahkan sebanyak 150 beg kepada pelajar kurang berkemampuan di negeri Perlis dalam usaha membantu mengurangkan bebanan para pelajar berkenaan.

Sumbangan tersebut yang disalurkan melalui Tabung Tijarah Ramadan disampaikan kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Perlis untuk diserahkan kepada para pelajar yang terpilih.

Menurut Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, usaha yang dilakukan oleh Johor Corporation (JCorp) itu membuka ruang dan peluang bagi mewujudkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua pihak.

"Kami berharap hubungan ini akan dapat diperluaskan melalui kerjasama yayasan untuk membantu pelajar-pelajar yang menghadapi masalah kesihatan yang kronik," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama daripada pihak yayasan itu untuk bersama-sama membantu pelajar miskin di negeri ini keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Pada masa ini, JPN bersama-sama Baitulmal Perlis mengambil inisiatif mengumpulkan anak-anak yatim dari keluarga miskin untuk tinggal di asrama seterusnya memberi bimbingan akademik," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Besar (Bisnes Amal) JCorp, Azizah Ahmad berkata, sumbangan beg sekolah itu adalah kesinambungan daripada aktiviti yang telah dilaksanakan di beberapa negeri seperti Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan dan Sarawak.

"Pada tahun 2009 dan 2008 melalui Tabung Tijarah Ramadan kami telah membantu pelajar miskin dan kurang berkemampuan melalui sumbangan beg itu," katanya.

Menurutnya, sumber kewangan tabung tersebut dikumpulkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) semasa penyiaran program televisyen Tijarah Ramadan yang disiarkan sepanjang Ramadan.

"Ia dikumpul melalui sumbangan para penonton dan sejak ia dilancarkan pada tahun 2005, kita telah berjaya mengumpul sejumlah RM1.3 juta," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 3,000 individu pelbagai bangsa dan agama mendapat manfaat daripada tabung berkenaan termasuk badan-badan dan pertubuhan yang memerlukan.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment