Budak Rentung Atas Tilam

|
KANGAR: “Selepas membawa Shamimi tidur, saya dan isteri makan di bawah pokok di luar rumah. Namun, tak sampai 15 minit selepas itu, kami dengar suara Shamimi minta tolong.

“Ibu bapa saya dan adik ipar yang berada di bilik lain segera membuka pintu bilik tidur Shamimi untuk menyelamatkannya, tapi gagal kerana api marak selain terhalang asap tebal. Ia turut menyebabkan mereka melecur di badan dan kaki,” kata Mohd Sharil Ani Amid, 30, bapa Nor Shamimi, 3, yang meninggal dunia dalam kebakaran di Kampung Bukit Keteri di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, nenek mangsa melecur teruk di kaki dan tangan selepas bergelut dengan api dan asap untuk menyelamatkan cucu kesayangannya yang terperangkap dalam bilik tidur.

Bagaimanapun, Nor Shamimi gagal diselamatkan dan ditemui rentung di atas tilam yang hangus.

Nenek mangsa, Sharifah Kassim, 53, dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dalam keadaan melecur di kaki serta tangan, namun keadaannya dilaporkan stabil.

Dia meredah api dalam kepulan asap tebal ketika mencari cucunya dalam bilik tidur itu, tapi keluarganya menariknya keluar dari bilik berkenaan bagi mengelak berlaku kemalangan jiwa.

Mayat Nor Shamimi ditemui rentung dalam bilik tidurnya oleh sepasukan anggota bomba dan mangsa anak tunggal pasangan Mohd Sharil dan Suzana Ghazali, 26.

Selain Sharifah, turut cedera dalam kejadian itu ialah datuk mangsa, Ghazali Ismail, 49, dan ibu saudaranya, Suriani Ghazali, 23. Bagaimanapun, Ghazali dan Suriani dibenarkan keluar dari HTF, tengah hari semalam.

Mohd Sharil berkata, dia dihalang orang ramai memasuki rumah untuk menyelamatkan anaknya sebaik mendengar jeritan mangsa kerana ketika itu api marak membakar bilik tidur.

Katanya, dia langsung tidak melihat jenazah Shamimi ketika dibawa keluar anggota bomba kerana terlalu sedih.

Jenazah kanak-kanak berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Keteri, jam 11.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros ketika mengesahkan kejadian terbabit berkata, kanak-kanak berkenaan tidur seorang diri dalam bilik, manakala ibu bapanya berada di luar rumah.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke HTF untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga pagi semalam dan bomba masih menyiasat punca kebakaran yang memusnahkan bilik tidur di rumah berkenaan.

“Beberapa penghuni rumah terbabit iaitu nenek, datuk dan ibu saudara mangsa turut dikejarkan ke HTF selepas cedera ketika berusaha menyelamatkan mangsa,” katanya.

HARIAN METRO

0 comments:

Post a Comment