Polis Mahu Perkukuh Kerjasama Masyarakat

|
KANGAR 29 Mac - Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis akan menggandakan lagi kerjasama dengan masyarakat walaupun status sedia ada sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Timbalan Ketua Polis Negeri, Asisten Komisioner Zull Aznam Harun menyatakan, pihaknya perlu menokok kerjasama itu kerana tidak mahu status sedia ada statik atau menurun.

Katanya, langkah-langkah berkaitan akan diambil secara berjadual supaya hubungan IPK Perlis dengan masyarakat di seluruh negara dapat digandakan keakrabannya.

Bekas Ketua Polis Daerah Tampin, Negeri Sembilan itu mengakui kagum dengan kerjasama masyarakat setempat setelah beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perlis mulai 1 Disember 2009.

"Kami amat memerlukan kerjasama erat daripada masyarakat. Hubungan baik yang sedia ada itu wajar digilap ke tahap yang lebih cemerlang, terutama dalam usaha membanteras jenayah," ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini.

Beliau mengakui salah satu tumpuan IPK Perlis ialah menjurus kepada remaja, kerana golongan itu merupakan kumpulan masyarakat yang menjadi sasaran utama pihak yang tidak bertanggungjawab.

Antara masalah yang melibatkan kumpulan itu katanya, termasuklah pelbagai gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, membuli, mencuri dan menyertai kegiatan lumba motosikal haram.

"Walaupun masalah sosial itu belum lagi menjadi satu masalah besar di Perlis, tetapi kami mengambil langkah awal dengan prinsip iaitu mencegah adalah lebih baik daripada mengubati," tegasnya.

Sehubungan itu, Zull Aznam turut menasihatkan remaja supaya lebih cermat ketika memilih rakan kerana bimbang mereka akan dipergunakan oleh pihak yang berkepentingan jenayah.

Selain remaja kata beliau, seluruh masyarakat mesti lebih aktif menjadi 'mata telinga' polis kerana jika masalah jenayah dibiarkan berterusan, ia memberikan kesan buruk jangka panjang kepada masyarakat itu sendiri.

UTUSAN MALAYSIA

0 comments:

Post a Comment