Pemimpin Perlu Terus Jadi Juara Rakyat

|
ARAU 24 Jan. - Para pemimpin UMNO di negeri ini diingatkan supaya tidak menjadi juara parti semata-mata sebaliknya perlu menjadi 'juara rakyat' bagi memastikan sokongan berterusan terhadap kerajaan untuk membangunkan negara.

Justeru itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, semua pihak perlu berganding bahu dan mengelak daripada bersikap ungkit-mengungkit ke atas sebarang perbezaan yang timbul.

"Kalau kita sibuk mencari perbezaan, sampai bila pun perkara ini tidak habis sedangkan kita perlu mencari jalan untuk menyatupadukan rakyat agar Barisan Nasional (BN) boleh terus menerajui negeri ini," katanya.

Beliau berkata, usaha membela nasib rakyat tidak seharusnya dilihat kepada parti sebaliknya ia perlu difokuskan terhadap semua anggota masyarakat.

"Kalau kita hendak bantu rakyat, bantu juga mereka yang susah kerana bagi mereka siapa yang tolong mereka itulah parti mereka," ujar beliau.

Md. Isa berkata demikian selepas merasmikan program Jom Kita Pi Timba Telaga Bersama MB di Kampung Sungai Berembang, di sini hari ini.

Beliau juga mengingatkan pemimpin di negeri ini agar selalu bertemu rakyat bagi mengukuhkan lagi perpaduan kaum di samping mengenal hati budi mereka.

"Jika kita kerap bertemu setiap lapisan masyarakat sudah pasti merapatkan hubungan malah segala syak wasangka yang timbul akan dapat dilenyapkan," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tradisi 'timba telaga' yang menjadi budaya penduduk kampung untuk merapatkan hubungan pada masa dahulu perlu diwujudkan semula.
Program 'timba telaga' ialah aktiviti mengeringkan air dari lubuk ikan dan hasilnya dibahagi-bahagikan di antara penduduk yang terlibat dalam aktiviti tersebut.

"Jika kita lihat pada masa dahulu, tradisi inilah yang menyatukan semua penduduk kampung termasuk kaum keluarga tidak kira yang jauh ataupun yang dekat," katanya.

Beliau juga mahu tradisi itu turut membabitkan golongan bukan Melayu yang tinggal berhampiran agar dapat mengukuhkan perpaduan dan harmoni pelbagai kaum sejajar dengan konsep 1Malaysia.


UTUSAN MALAYSIA - 25/01/2010

0 comments:

Post a Comment